Priya benam skuad wanita





PERSIAPAN skuad bola sepak wanita negara menjelang Sukan SEA di Kuala Lumpur sedikit terganggu apabila tewas 2-0 kepada India di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hari ini.
Kekalahan itu jelas menyentap semangat anak buah Mohd Asyraaf Abdullah ketika cabaran temasya dwi tahunan itu hanya berbaki dua minggu lagi.
Pada aksi persahabatan kelas 'A' itu, pasukan pelawat yang berada di kedudukan ke-60 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berbanding Malaysia (80) dilihat gagal memberi ancaman bermakna khususnya pada babak pertama.
Pelawat terlebih dulu menguji kubu negara menerusi rembatan deras Devi Ashalata pada minit ke-10 namun ianya tepat menuju ke dakapan penjaga gol Malaysia, Nurul Azurin Mazlan.
India terus melancarkan asakan demi asakan ke gawang negara dan tandukan Devi Kamala pada minit ke-25 sekadar singgah palang gol.
Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menguji ketangkasan Panthoi Elangbam namun sepakannya mudah ditampan penjaga gol pelawat itu.
Gol yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-77 hasil percubaan mudah penyerang gantian, Priya meletakkan India mendahului 1-0.
Ketika tuan rumah bangkit mencari gol penyamaan, mereka dikejutkan pula dengan gol menarik tandukan Priya di minit ke-86 selepas menerima hantaran lintang Sanju di sebelah kiri.
Walaupun skuad negara cuba bangkit pada baki saingan, India yang hadir selaku juara Asia Selatan tetap ampuh bertahan untuk memastikan kemenangan berpihak mereka.

sumber:metro

Comments