"MAU cuci chemical ka? Itu kotor susah hilang.." Mungkin anda sudah biasa mendengar kata-kata ini yang dituturkan abang Bangladesh kita di premis cuci kereta. Kebiasaannya pemilik kereta warna cerah, terutama putih kerap menjadi sasaran soalan berkenaan.
Ini kerana kotoran pada kereta putih memang mudah kelihatan walaupun sekali pandang tidak berapa ketara. Tetapi, jika diamati lebih dekat, terutama bahagian bampar dan skirt tepi, anda akan perasan ada kotoran degil yang sukar ditanggalkan dengan sabun cuci biasa seperti kesan tar atau serangga mati terpenyek.
APAKAH CUCIAN 'CHEMICAL' BAGUS?
Tidak. 'Chemical' (warna cecair merah) yang sering digunakan kebanyakan premis cuci kereta ialah agen peluntur yang sangat kuat dan mampu merosakkan lapisan perlindungan cat kereta. Jika digunakan berulang kali, bahan kimia itu bukan saja akan memudarkan warna cat, tetapi turut menipiskan lapisan cat.
Sebenarnya, ada beberapa penyelesaian mudah, murah dan selamat yang boleh digunakan untuk menanggalkan kotoran degil seperti tar ketika cuci kereta. Antaranya ialah:
1. PENANGGAL TAR (TAR REMOVER)
Anda boleh membelinya di kedai aksesori kereta atau mana-mana kompleks beli-belah dengan harga serendah di bawah RM10 dalam pelbagai jenama. Pilih saja sama ada dalam bentuk lilin (wax), krim, atau cecair. Hati-hati memilih kerana ada penanggal tar dibuat khas untuk warna kereta tertentu (gelap atau cerah).
Mahal tidak semestinya bagus, kerana sesetengah produk itu mahal disebabkan diimport dari luar negara seperti Eropah atau Amerika Syarikat, sedangkan kandungan kimianya sama sahaja dengan produk tempatan atau Asia lain. Penanggal tar ialah produk yang betul-betul selamat kerana memang dirumuskan khas untuk menanggalkan kotoran degil dan pada masa sama menjaga cat kereta.
2. PENYEMBUR WD40
Sebenarnya produk ini bukan hanya khas digunakan sebagai agen anti-karat, tetapi boleh juga digunakan untuk melunturkan kotoran tar pada kereta. Cuma sembur pada kotoran, tunggu 30 saat atau 1 minit dan bilas dengan air sabun atau air biasa. Mudah saja bukan?
Produk ini sesuai buat mereka yang malas menyental kotoran dan mahu cepat dapat hasil. Malah, penggunaanWD40 lebih versatil dan tidak terhad untuk kereta sahaja.
3. MINYAK TANAH + SYAMPU / SABUN CUCI PINGGAN
Ini penyelesaian paling ekonomi. Anda perlu beli minyak tanah (atau kerosen) di mana-mana kedai perkakasan (hardware) dan campurkan dengan air sabun (gunakan syampu atau cucian pinggan mangkuk) dalam nisbah 30:70. Kemudian masukkan campuran itu dalam botol penyembur dan semburkan pada kotoran sambil menyental dengan span. Jika tiada botol, boleh saja masukkan dalam bekas botol mineral atau baldi.
Selepas selesai, bilaskan dengan air biasa sehingga bersih. Mudah dan murah. Sebotol minyak tanah atau kerosen berharga RM2 - RM3, manakala sabun cuci boleh ambil saja di rumah.
PENATLAH, LAMA NAK CUCI
Sebenarnya, proses menyental atau mencuci kotoran degil itu tidak sampai 5 minit jika kena tekniknya - asalkan tidak malas. Terus fokuskan kepada kesan kotoran. Air biasa untuk membilas pula cukuplah saja diisi dalam dua bekas botol mineral bersaiz 1.5 liter. Sebotol untuk tepi kanan dan bampar depan, dan sebotol lagi untuk tepi kiri dan bampar belakang.
Selebihnya, serahkan kepada abang Bangladesh kita. Kalau dia masih lagi minta kereta anda dicuci 'chemical', terus tunjukkan muka serius dan garang serta gelengkan kepala.
Comments
Post a Comment