Kim Swee tenang di sebalik persiapan bercelaru


 

KETUA Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee (dua kanan) memberikan arahan kepada pemainnya ketika menjalani latihan rasmi di Stadium Shah Alam menjelang perlawanan persahabatan menentang Myanmar B-22 esok 13 Julai. - Foto Osman Adnan PETALING JAYA: Persediaan serba kurang sempurna skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara bagi menghadapi aksi persahabatan dengan Myanmar esok, jelas langsung tidak menggusarkan pengendali Datuk Ong Kim Swee. Ketika persiapan pasukan B-22 lawan tampak jauh lebih lengkap, skuad Projek Sukan SEA 2017 itu dihimpit masalah terutama apabila bekas pengendali Harimau Malaya itu dijangka hanya dapat mengumpulkan kesemua 26 pemainnya sehari sebelum aksi berlangsung. Begitupun, ia tidak mengganggu moral pengendali kelahiran Melaka itu yang tetap yakin dengan kemampuan anak buahnya dan menegaskan kehadiran mereka di Stadium Shah Alam tetap dengan misi untuk melakar kemenangan. "Seperti kita tahu, persediaan kami tidak berjalan seperti yang kita dikehendaki. Saya harap dapat kumpul semua pemain hari ini di mana kita akan jalani satu sesi latihan sebelum perlawanan," kata Kim Swee ketika sidang media, hari ini. "Tiada siapa mahu main untuk kalah. Kami mahukan kemenangan dan pemain juga sama. Kita akan buat dan cuba terbaik kerana paling penting bagi saya ialah menilai pemain yang akan dapat diturunkan nanti." Sehingga hari ini, Kim Swee hanya dapat mengumpulkan 19 daripada 26 pemainnya dengan beberapa pemain yang beraksi dalam saingan Liga Super masih dalam perjalanan untuk melaporkan diri. "Seperti kita tahu, pasukan Myanmar sudah berlatih bersama selama lebih tiga minggu. Tetapi itu bukannya masalah yang perlu saya fikir. Saya lebih mementingkan apa yang perlu saya lakukan. "Sekali pun kami hanya mempunyai masa sehari untuk berlatih bersama, saya yakin pemain akan memberikan yang terbaik dan mengikut perancangan yang diperlukan dalam perlawanan nanti." Selepas menentang Myanmar, skuad B-22 negara akan bertandang ke Bangkok, Thailand bagi menghadapi kelayakan Kejuaraan B-23 AFC - kejohanan yang menjadi keutamaan Kim Swee bagi menilai pasukannya untuk menghadapi kempen Sukan SEA di Kuala Lumpur, bulan depan. "Selepas perlawanan dengan Myanmar, kita ada beberapa hari saja sebelum ke Bangkok. Jadi saya mengambil keputusan menyenaraikan pemain ini kerana jika ada perubahan, kami tidak perlu terburu-buru. "Paling penting ialah pemain yang melaporkan diri tidak cedera atau kurang cergas. Saya hanya ada satu perlawanan iaitu dengan Myanmar untuk kenal pasti segala aspek kekuatan, kelemahan sebelum berlawan dengan Indonesia di Bangkok pada 19 Julai nanti." Bagi kapten skuad B-22 negara, Adib Zainudin kekurangan masa untuk berlatih bersama rakan sepasukan tidak melemahkan pasukan. "Ketika ini, ramai rakan sepasukan sudah menjadi pemain utama dalam pasukan (Liga Malaysia). Di situ, mereka sudah dapat mengadaptasi dengan perkara seperti ini, harungi perlawanan dan kemudian rehat. Jadi bagi saya ia tiada masalah." Antara pemain yang masih ditunggu Kim Swee ialah Daniel Amier Norhisham (FELDA United), Adam Nor Azlin (Selangor) dan pemain Pulau Pinang, Jafri Firdaus Chew. 



sumber: berita harian

Comments